Monday, September 22, 2014
Bongsu
Menjadi seorang anak bongsu;
kalau kau cukup bertuah, kau akan dapat mengalami dan lihat sendiri perubahan fasa dalam keluarga. Itu pun kalau kau seorang pemerhati yang sentimental.
Perkara yang kadangkala buat kau terfikir panjang mengapa kau dipilih menjadi bongsu, dan ketika lain kau bersyukur untuknya.
Kau selalu dengar ayat tipikal dengan mental drama melayu mana entah orang petik, ' anak bongsu ni manja'.
Kau rasa nak belasah je orang yang cakap macam ibarat mencungkil cili di celah gigi tu.
Suka hati dia je.
Sebab kau rasa, dia salah. Kau lebih berdikari mungkin.
Kau terasa dengan ayat yang tercipta sejak entah bila tu, sebab kau bongsu.
Kau punyai abang dan kakak.
Kau pernah bermain dengan mereka. Bergurau, bertekak, menangis sama-sama.
Tiba-tiba, eh, kau dah ada ipar, sudi berjanji setia sama abang kakak kau yang dahulunya perangai entah apa-apa dan tak nampak macam ada orang nakkan mereka.
Tiba-tiba lagi sekali, kau dah ada anak sedara.
Mana datangnya budak kecik ni??
Kau tak perasan, sebab kau bongsu.
Ayat lazim dalam kenduri beradik terakhir--tinggal kau seorang, ayat paling lazim adalah, 'Lepas ni kamu lah ye?'
Kau rasa macam "bleghhh kamon aku bebudak lagi. Gimme some sweet times".
Yang sebenarnya kau tak tahu, umur macam kau ni abang kakak kau dah ada marka.
Kau rasa kau muda, sebab kau bongsu.
Dalam kereta, waktu kau mamai antara tidur-sedar, mak ayah kau berbual tentang anak-anak mereka.
Sayu tak sayu hati kau bila terdengar cakap-cakap mak ayah tentang lajunya masa berlari.
Kalutnya mereka nak uruskan beberapa orang anak, nak bagi tempat tinggal selesa, kenangan piknik di tepi sungai, kereta pertama yang diusahakan supaya dapat bawa anak-anak makan angin tengok lampu malam. Sekarang, yang nak diuruskan hanya tinggal kau seorang. Kau je.
Kau rasa lambat sungguh masa berjalan untuk balas budi, sebab kau bongsu.
Tak semua anak bongsu dapat rasai perkara yang sama.
Ikut kaulah, kau jenis bongsu macam mana.
Aku cuma mahu jadi si bongsu yang berguna biar tak sempurna.
'Allah, ampunkan dosa kedua ibu bapaku.
Kasihi dan kasihani mereka sepertimana mereka mengasihi sejak aku kecil.
Berkati umur mereka, sihat sejahterakanlah tubuh badan mereka, permudahkan urusan mereka, murahkan rezeki mereka.
Segala pujian untuk-Mu wahai Tuhan yang Maha Pengasih, yang memberi aku cinta melalui mereka.'
Subscribe to:
Posts (Atom)